Quantcast
Channel: Lifestyle – Malaysia Outlook
Viewing all articles
Browse latest Browse all 23

Rakyat Malaysia ambil lebih banyak garam daripada purata WHO

$
0
0

PUTRAJAYA: Kadar purata pengambilan garam rakyat Malaysia ialah 7.15g sehari berbanding 5g sehari seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata kajian rintis Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan golongan berumur 18 tahun ke atas mengambil lebih banyak garam.

Katanya ini boleh menyebabkan penyakit hipertensi atau darah tinggi dan boleh menyebabkan penyakit jantung dan strok serta boleh membawa kepada kematian.

Bercakap kepada pemberita bersempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018, Dr Subramaniam berkata kebanyakan orang tidak sedar mereka mengambil garam berlebihan dalam diet seharian.

“Rakyat perlu ubah budaya pengambilan garam dan amalkan budaya sihat. Ada keperluan untuk mengurangkannya bagi menjamin kesihatan mereka,” katanya.

Menurutnya, antara 20 jenis makanan kerap dimakan dan menyumbang pengambilan garam paling tinggi adalah kicap cair, nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, kicap pekat, roti canai, sup daging, sos tiram, mee segera, sos cili/tomato, sambal belacan, budu, ikan masin, stok perisa, makanan ringan, makanan tin serta makanan diproses.

“Waktu kita makan di rumah atau di restoran, mesti ada botol kicap di atas meja. Secara automatik, orang mahu menambah kicap pada makanan mereka. Saya seru semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengurangkan garam kepada 5g sehari atau kurang daripada 1 paras sudu teh sehari.

“Saya percaya penggunaan garam sukar dikawal terutama dalam kalangan kanak-kanak memandangkan kumpulan itu gemar memakan keropok dan makanan segera. Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan pengusaha kantin menyediakan makanan sihat kepada pelajar di sekolah,” kata Dr Subramaniam.

Dalam minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut selama seminggu bermula 12 Mac bertemakan “5 Capai 5 Gram Garam” beliau berkata mesej utama adalah mengingatkan kembali kepada orang ramai tentang kesan bahaya pengambilan garam secara berlebihan, serta mencadangkan 5 langkah untuk berbuat demikian.

Langkah-langkah itu adalah pilih makanan secara sihat, baca dan bandingkan label sebelum membeli makanan, beransur-ansur kurangkan garam dalam resipi kegemaran, elakkan garam, kicap dan sos daripada dihidangkan semasa makan serta gantikan garam dengan rempah ratus dan perisa asli semasa memasak untuk menambah perisa.– Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 23

Latest Images

Trending Articles





Latest Images